suria

Polis Pulau Pinang Tumpas Sindiket Ragut Sekitar Daerah Barat Daya

BALIK PULAU: Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Barat Daya berjaya menumpaskan sindiket ragut dan kes pecah kereta di sekitar daerah itu sejak tiga bulan lepas.

Timbalan Ketua Polis Barat Daya, Supt Lai Fah Hin berkata empat lelaki berusia 29 hingga 38 tahun ditahan secara berasingan dan dipercayai terlibat dalam 25 kes pecah kereta di sekitar Bayan Lepas dan Bayan Baru.

"Bertindak atas maklumat orang awam, polis menahan dua lelaki pada pukul 12.45 awal pagi tadi di Sungai Nibong dan seorang lelaki pada pukul 2 pagi tadi juga di Sungai Nibong," katanya.

Beliau berkata polis menemui tiga pemutar skru, kunci motorsikal serta barang kemas termasuk cincin, rantai, gelang tangan serta keronsang baju yang dipercayai barangan curi.

Katanya berdasarkan maklumat tiga suspek yang ditahan, polis menyerbu sebuah premis membaiki kereta di Lorong Aziz Ibrahim, Bayan Lepas pada 4.50 pagi tadi dan menahan seorang lelaki.

"Hasil penahanan suspek yang dipercayai pembeli barang-barang curi itu, polis menemui 22 buah pemain CD/DVD pelbagai jenama dan dua buah peralatan audio jenama Brothers," katanya.

Turut dirampas sebuah motosikal dan nilai keseluruhan barangan curi itu dianggarkan RM25,000.

Lai berkata, modus operandi sindiket itu ialah memecahkan cermin sisi bahagian pintu belakang kereta menggunakan pemutar skru untuk memasuki kenderaan itu.

Beliau berkata dua suspek didapati positif dadah jenis heroin dan seorang daripada mereka memiliki enam rekod jenayah lampau berkaitan kes samun serta ragut.

"Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan ditahan reman sehingga 22 Jun ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis percaya dapat menyelesaikan semua kes ragut yang dilaporkan sejak bulan Mac lepas dan semua mangsa akan dipanggil untuk proses pengecaman barangan mereka yang hilang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain