PGPO Mahu Israel Pulangkan Dua Kapal Tajaannya Secepat Mungkin - Semasa | mStar

PGPO Mahu Israel Pulangkan Dua Kapal Tajaannya Secepat Mungkin

NIBONG TEBAL: Perdana Global Peace Organisation (PGPO) mahu dua kapal tajaannya iaitu MV Rachel Corrie dan Challenger yang ditahan Israel ketika menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza dipulangkan kepada mereka secepat mungkin.

Penasihatnya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata kedua-dua kapal itu diperlukan PGPO untuk menyertai flotila pembebasan yang akan digerakkan pada September ini.

"Buat masa ini kita minta bantuan daripada kerajaan Jordan dan Turki untuk berunding bagi pihak PGPO supaya Israel melepaskan tujuh kapal yang ditahan itu.

"Kalau boleh PGPO hendak balik dua kapal tajaan kita secepat mungkin dan Jordan serta Turki agak optimis untuk dapatkannya kembali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Nibong Tebal, di sini hari ini.

Mukhriz berkata dua kapal itu akan dihantar menyertai 60 kapal dan bot lain dalam misi kedua membawa bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza seperti yang dicadang oleh Anggota Parlimen Britain George Galloway.

Mengulas isu berkaitan, Mukhriz berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak akan tunduk dengan amaran Israel agar masyarakat dunia tidak mencabar sekatan yang dikenakan rejim ke atas Gaza.

"Sekatan itu tidak pernah dipersetujui oleh PBB dan Israel tidak boleh menyatakan kita melanggar sekatan berkenaan walhal sekatan itu sendiri haram. Masyarakat dunia memang ada hak untuk belayar terus ke Gaza," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa kerajaan Lebanon dan masyarakat antarabangsa supaya mencegah sekumpulan kapal kecil daripada cuba mencabar sekatan terhadap Gaza, dengan memberi amaran untuk menggunakan 'semua tindakan yang perlu' bagi menghentikan konvoi berkenaan.

Gabriela Shalev melalui sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, memberi amaran cubaan penganjur untuk belayar dari Lebanon bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza boleh meningkatkan ketegangan dan memberi kesan kepada keamanan serta keselamatan di rantau itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

Artikel Lain