suria

Peruncit Digesa Mohon Lesen Barang Kawalan

PADANG BESAR: Peruncit di negara ini yang belum memohon lesen untuk menjual barang kawalan masih mempunyai masa kira-kira 10 hari untuk berbuat demikian sebelum lesen itu dikuatkuasakan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata apabila dikuatkuasakan kelak, pihaknya akan melakukan tinjauan bagi memastikan hanya peruncit berlesen menjual barang kawalan tersebut.

"Saya harap tempoh kurang 10 hari ini untuk memohon lesen berkenaan digunakan sebaiknya oleh peruncit yang belum berbuat demikian," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mengulas mengenai peruncit di negeri itu, Tan berkata sehingga kini hanya kira-kira dua peratus daripada 462 peruncit di Perlis masih belum memohon lesen tersebut.

Mengenai bekalan gula di Perlis, Tan berkata pihaknya akan memastikan stok gula mencukupi dengan jumlah minimum 50 tan metrik berada di pasaran setiap hari.

Beliau berkata selain itu pihaknya juga memastikan 64.8 tan metrik gula berada dalam simpanan pemborong dan sedia diagihkan bagi memenuhi keperluan 245,636 pengguna di Perlis.

Tan turut menasihati pengguna agar tidak bimbang akan kemungkinan kekurangan bekalan gula kerana kerajaan tidak berhasrat untuk menaikkan harga bahan itu buat masa sekarang.

"Justeru mana-mana pengguna yang kini menyimpan stok kerana khuatir bekalan terbantut digesa berhenti berbuat demikian kerana stok gula di seluruh negara kini mencukupi," katanya.

Beliau berkata laporan kekurangan bekalan gula di beberapa lokasi di negara ini bukan disebabkan kekurangan bekalan tetapi masalah pengangkutan yang menyebabkan bekalan gula lewat tiba kepada pemborong. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain