suria

Majukan Industri Pelancongan Untuk Pasaran Istimewa Tertentu - Najib

MELAKA: Industri pelancongan negara bukan sahaja perlu dimajukan secara umum tetapi hendaklah mencari pasaran istimewa tertentu yang boleh meningkatkan keupayaan dan daya tarikannya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pada tahun lepas, negara mencatatkan pertumbuhan pelancong amat memberangsangkan dan Malaysia merupakan antara tiga negara di dunia memperlihatkan pertambahan pelancong.

"Kementerian Pelancongan menganggarkan bahawa kita mengalu-alukan ketibaan seramai 23.6 juta pelancong, yang menghasilkan pendapatan berjumlah RM53.4 bilion," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Philea Resort & Spa di Ayer Keroh di sini Sabtu malam.

Beliau berkata angka itu ternyata amat berbeza sekali dengan bilangan 5.5 juta pelancong dan pendapatan sebanyak RM8.5 bilion yang dicatatkan pada tahun 1998.

Katanya industri pelancongan menyumbang sebanyak sembilan peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sektor itu merupakan antara 11 sektor yang dikenal pasti sebagai Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Menjelang 2015, industri itu dijangka menyumbang sebanyak RM115 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menghasilkan sebanyak dua juta peluang pekerjaan.

Najib berkata kerajaan berhasrat menarik "pelancong berkualiti" menginap selama lapan malam dan membelanjakan antara RM4,000 hingga RM5,000 secara purata bagi setiap kunjungan.

Pada masa kini, pelancong secara am menginap selama 6.7 malam dan membelanjakan RM2,300 secara purata bagi setiap kunjungan.

Mengenai industri pelancongan di Melaka yang disifatkan mempunyai potensi besar, Najib berkata dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, kerajaan meluluskan peruntukan supaya "Melaka River Cruise" dipanjangkan lagi.

Projek pelancongan Sungai Melaka kini kira-kira sepanjang empat kilometer bermula dari Taman Rempah dan berakhir di Quayside, di Muara Sungai Melaka.

"Tak tahu sama ada (akan dipanjang) dua atau tiga kilometer supaya pengalaman bagi pelancong lebih bermakna lagi," kata Najib, yang menyusuri Melaka River Cruise dalam lawatan terakhirnya di Melaka pada 4 Feb lepas.

Philea Resort dan Spa adalah sebuah log resort terbesar di Asia yang dibangunkan di kawasan seluas enam hektar dengan kos sebanyak RM140 juta yang dimiliki oleh Majestic Hotels dan Resorts Sdn Bhd.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengarah Urusan Majestic Hotels dan Resorts Sdn Bhd, Tan Sri KK Chai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain