suria

Kerajan Pusat Tubuh Pasukan Khas Pantau Projek Lewat Di Kelantan - Mustapa

KOTA BAHARU: Sebuah pasukan khas telah ditubuhkan bagi menangani isu projek kerajaan pusat di Kelantan yang mengalami kelewatan, kata Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Pada masa ini pihak kita telah mengenal pasti enam projek yang mengalami masalah kelewatan di Kelantan dan perlu ditangani segera.

"Antara projek yang dikenalpasti lewat disiapkan ialah pembinaan Universiti Malaysia Kelantan, Politeknik Jeli, Jalan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang, Jalan Jeli-Jelawang, Jalan Pasir Puteh-Tok Bali, dan Jambatan Sultan Yahya Petra," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata kesemua projek itu akan dipastikan siap sebelum pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10).

"Kerajaan sebenarnya tidak mahu projek yang mengalami kelewatan ini terpaksa dimasukkan dalam RMK10 untuk diselesaikan kerana kita bimbang jika ini berlaku, ia akan menjejaskan projek baru yang sepatutnya dilaksanakan untuk rakyat dalam RMK10," katanya.

Pada majlis ramah mesra antara warga Jabatan Kesihatan Kelantan dan kementeriannya hari ini, Mustapa turut menyerahkan empat ambulans dan lima lagi kenderaan lain termasuk pacuan empat roda kepada Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk meningkatkan kemudahan di hospital terbabit. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain