suria

Isu Amah: Malaysia-Indonesia Dijangka Tandatangani MOU Sebulan Lagi

KUALA LUMPUR: Pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia dijangka ditarik balik apabila kedua-dua negara menandantangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam masa sebulan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata MoU itu akan ditandatangani apabila isu penstrukturan kos seperti kos pengambilan dan kos membawa masuk pembantu rumah Indonesia diselesaikan.

"Kami sedang menyelesaikan isu pembantu rumah Indonesia...kami berharap dapat menyelesaikannya dalam masa sebulan lagi," katanya kepada pemberita selepas penyampaian biasiswa Yayasan Amma kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia, di sini hari ini.

Subramaniam berkata kebanyakan isu utama telah diselesaikan dan isu penstrukturan kos masih dibincang antara pegawai kedua-dua buah negara.

Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumahnya ke Malaysia pada Jun lepas ekoran beberapa insiden penderaan amah selain ketiadaan faedah pekerjaan seperti gaji minimum dan hari rehat.

Subramaniam turut mengulas mengenai sesi ke-99 Persidangan Buruh Antarabangsa yang diadakan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa di Geneva baru-baru ini, yang antara lain menyaksikan beberapa negara dari Afrika dan Timur Tengah berminat untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang seperti latihan kemahiran.

Selain itu katanya, Malaysia juga memberitahu persidangan bahawa dalam isu pekerja asing Malaysia mengenakan syarat-syarat tertentu yang berasaskan isu setempat khususnya mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

"Oleh sebab itu kita meminta agar apa juga polisi masyarakat antarabangsa, ianya harus mempertimbangkan keadaan dan undang-undang setempat. Ini akan memudahkan kita untuk memenuhi apa juga standard yang ditetapkan mereka," katanya.

Mengulas gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) berhenti bertelagah secara terbuka, Subramaniam yang juga Naib Presiden MIC berkata beliau menyambut baik saranan itu.

"Memang betul...mana-mana parti dalam BN perlu kukuh kerana bila tiap-tiap parti kukuh maka BN akan kukuh dan kuat.Nasib baik dalam MIC kita tidak ada masalah itu," katanya.

Mengulas isu berlainan, Subramanian berkata pada tahun ini seramai 361 pelajar India menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam berbanding 354 pada tahun lepas, dan daripada jumlah itu 161 adalah untuk belajar di luar negara, sementara bakinya belajar di institusi tempatan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain