suria

Tian Chua Bukan Lagi Ahli Parlimen - Karpal

PETALING JAYA: Kedudukan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen Batu telah terbatal berdasarkan Perlembagaan selepas didenda RM2,000.

Tegas peguam veteran, Karpal Singh , di bawah Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan Tian Chua tidak lagi layak menduduki kerusi Parlimen berkenaan.

Ia menyebut: "Berdasarkan peruntukan dalam Artikel ini, mana-mana individu terbatal kedudukannya sebagai ahli dewan dalam Perlimen sekiranya disabitkan dengan apa-apa kesalahan oleh mahkamah dalam Persekutuan dan dihukum penjara dalam tempoh tidak kurang dari setahun atau didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak menerima pengampunan.”

Karpal berkata, berdasarkan kes Fan Yew Teng lawan Setiausaha Dewan Rakyat (1975), dengan Yew Teng meruapakan Ahli Parlimen perlu mengosongkan kerusinya selepas dihukum penjara enam bukan dan didenda RM2,000 setelah didapati bersalah di bawah Akta Hasutan.

Beliau yang merupakan peguam Yew Tang pada untuk kes pada tahun 1975 itu memberitahu, Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk negeri bahawa setiap Ahli Parlimen perlu segera dibatalkan kedudukannya itu jika dipenjarakan tidak kurang dari setahun atau didenda tidak kurang RM2,000

Bagaimanapun, jelasnya, pembatalan itu hanya berkuat kuasa 14 hari selepas hari dijatuhkan hukuman.

“Jadi dia (Tian Chua) ada 14 hari untuk berbuat sesuatu,” katanya sambil menambah bahawa pelucutan itu berkuat kuasa untuk tempoh lima tahun.

Ditanya sama ada Ahli Parlimen Batu boleh merayu, beliau berkata, Tian Chua boleh merayu tetapi perlu mendapat cuti daripada Mahkamah Rayuan untuk berbuat demikian.

"Dan dia hanya boleh merayu untuk sabitan sahaja,” jelasnya lagi.

Kelmarin Mahkamah Tinggi mengetepikan hukuman penjara enam bulan ke atas Ahli Parlimen Batu itu kerana mencederakan anggota polis pada 2007.

Hakim Datuk Ghazali Cha turut mengurangkan jumlah hukuman denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Pada 22 Oktober tahun lalu, Tian Chua dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah didapati bersalah mencederakan anggota polis pada 11 Disember 2007.

Tian Chua, 47, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen di sini pada 10.45 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada pilihan raya umum ke-12 2008, Tian Chua memenangi kerusi Parlimen Batu menewaskan calon Barisan Nasional dari Gerakan, Lim Si Pin dengan majoriti 9,445 undi.

Artikel Berikut

Artikel Lain