suria

Sindiket Palsukan Dokumen Perjalanan Indonesia Tumpas

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menumpaskan satu sindiket memalsukan dokumen pengenalan Indonesia dengan tertangkapnya tiga lelaki warga Indonesia, masing-masing seorang di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, antara Rabu dan semalam.

Pengarahnya Mohamad Hatta Kassim berkata 11 lagi termasuk wanita dan kanak-kanak, ditahan kerana tiada dokumen sah dalam tiga operasi.

Katanya menerusi Ops Serkap, para pegawainya telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Terat Batu, Padang Serai, Kedah pada 9.30 pagi Rabu dan menahan dua lelaki yang dipercayai tidak mempunyai dokumen yang sah.

Salah seorang daripada mereka didapati memiliki satu pasport Indonesia dengan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu dan Imigresen mengenalpasti lelaki berusia 48 tahun itu adalah dalang yang membekalkan salinan PLKS palsu kepada kepada pekerja warga Indonesia di Kedah terutama di Sungai Petani.

"Keesokannya pada pukul 1 pagi, Imigresen Kedah seramai 12 orang pegawai Bahagian Penguatkuasa telah membawa lelaki berusia 48 tahun itu ke sebuah premis di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan menahan seorang lelaki berusia 42 tahun yang merupakan Penduduk Tetap Malaysia yang juga orang tengah mengedar pasport dan pelekat PLKS palsu," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Katanya pemeriksaan di premis itu menemui beberapa keping pelekat PLKS palsu, beberapa keping resit bayaran yang dikeluarkan Imigresen yang dipercayai palsu dan tiga pasport Indonesia yang didalamnya ada PLKS palsu.

"Turut ditahan semasa pemeriksaan adalah seorang wanita Indonesia berumur 36 tahun yang dipercayai isteri suspek dan kanak-kanak berusia satu bulan hingga lapan tahun dipercayai anak pasangan itu," katanya.

"Pada 18 Jun (semalam) pukul 6.12 pagi, suspek kedua membawa pihak Imigresen ke sebuah rumah dipercayai tempat kegiatan pemalsuan dilakukan di Taman Razali, Ampang, Selangor.

"Setelah digeledah, kami menjumpai beberapa pasport Indonesia palsu, pelekat PLKS palsu, MyKad palsu, MyPR palsu, satu unit pencetak, satu papan kain putih untuk memproses MyPR dan MyKad, satu unit komputer riba, segulung plastik putih, satu unit lampu ultra-violet dan wang tunai RM2,680 dan 521,000 Rupiah," katanya.

Mohamad Hatta berkata seorang lelaki berusia 54 tahun yang juga pemegang taraf Penduduk Tetap ditahan kerana dipercayai menjadi dalang utama sindiket pemalsuan dokumen rasmi itu dan selain itu enam lagi yang berusia antara empat hingga 40 tahun juga ditahan kerana permit tamat tempoh atau tiada dokumen pengenalan diri.

"Lelaki berusia 54 tahun itu dan dua lelaki yang ditahan di Padang Serai dan Seberang Jaya disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/1963 (pindaan 2002) kerana memalsu atau meminda bagi pengendorsan atau dokumen," katanya.

Beliau berkata sindiket terbabit mengenai bayaran RM850 bagi setiap pasport dan permit, RM1,500 bagi MyPR, pelekat PLKS RM300 serta RM1,300 bagi proses lengkap untuk pasport, I-kad dan pelekat PLKS. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain