suria

Saya Masih Lagi Ahli Parlimen Batu Yang Sah - Tian Chua

PETALING JAYA: "Saya masih lagi Ahli Parlimen Batu yang sah, tidak ada sebarang keraguan tentang itu," tegas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua kepada mStar Online semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengurangkan denda ke atas beliau kerana mencederakan seorang anggota polis pada tahun 2007.

Mengikut perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang anggota Dewan Rakyat boleh hilang kerusi dimenanginya jika dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang RM2,000.

"Kekeliruan hanya timbul disebabkan jumlah denda yang dikenakan itu, kerana ada pihak yang salah faham tentang artikel 48.

"Ia sudah jelas tidak akan ada pilihan raya kecil kerana ia melibatkan perbelanjaan dana yang besar dan menjejaskan kepentingan awam," katanya.

Mengulas lanjut, Tian Chua yang juga Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, mana-mana pihak yang tidak puas hati dengan keputusan hakim itu boleh memfailkan rayuan di mahkamah yang lebih tinggi.

Semalam, Mahkamah Tinggi mengetepikan hukuman penjara enam bulan ke atas Ahli Parlimen Batu itu kerana mencederakan anggota polis pada 2007.

Hakim Datuk Ghazali Cha turut mengurangkan jumlah hukuman denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Pada 22 Oktober tahun lalu, Tian Chua dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah didapati bersalah mencederakan anggota polis pada 11 Disember 2007.

Tian Chua, 47, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen di sini pada 10.45 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada pilihan raya umum ke-12 2008, Tian Chua memenangi kerusi Parlimen Batu menewaskan calon Barisan Nasional dari Gerakan, Lim Si Pin dengan majoriti 9,445 undi.

Artikel Berikut

Artikel Lain