suria

RMK-10 Bakal Beri Manfaat Kepada Penduduk Pedalaman

JELI: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pelan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan memberikan manfaat yang lebih baik kepada masyarakat pedalaman, khasnya di Jeli.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata di dalam RMK-10 banyak perkara disentuh dalam rancangan pembangunan untuk negara termasuk meningkatkan pendapatan rakyat serta taraf kehidupan mereka.

"RMK-10 menggariskan rancangan pembangunan lima tahun akan datang. Saya sedang usaha bersungguh-sungguh untuk pastikan pembangunan turut dilaksanakan di kawasan pedalaman.

"Saya juga pastikan Jeli akan mendapat bahagian di dalam RMK-10 yang sewajarnya," katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di sini hari ini.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan RMK-10 yang menggariskan program pembangunan lima tahun negara sehingga 2015 yang bertemakan 'Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial' dengan peruntukan RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan bagi tempoh lima tahun tersebut.

Daripada jumlah itu, 55 peratus diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan lima peratus untuk pentadbiran am.

RMK-10 yang akan dilaksanakan berasaskan hala tuju strategik, program dan peruntukan adalah bagi merealisasikan Wawasan 2020 dan membawa negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020.

Mustapa berkata telah banyak kemajuan dicapai tertutamanya di Jeli hasil daripada rancangan pembangunan kerajaan pusat terutama pembangunan fizikal.

"Kalau dulu Jeli yang merupakan kawasan pedalaman tidak ada apa-apa. Sekarang telah banyak pembangunan yang boleh dibanggakan dan dapat dilihat," katanya.

Beliau berkata antara pembangunan yang dibawa masuk kerajaan pusat termasuk pembinaan kampus Universiti Malaysia Kelantan, pembinaan politeknik, serta rancangan pembangunan pertanian di bawah Pelan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).

"Malahan dua minggu lagi sebuah bank Muamalat akan dibuka di Jeli serta Bank Simpanan Nasional (BSN) sedang mencari tapak untuk buka bank mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain