suria

Nazir Masjid Perlu Patuhi Arahan Tidak Jemput Penceramah Tak Bertauliah

SEPANG: Semua nazir masjid perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) agar tidak menjemput mana-mana penceramah tidak bertauliah, kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Nazir masjid juga perlu memastikan bahawa penceramah yang diundang itu tidak menyalahgunakan tauliah diberikan dengan menyampaikan isu tidak sepatutnya dibangkitkan di dalam masjid.

"Walaupun pelbagai arahan telah diberikan melalui notis-notis pemberitahuan yang dipaparkan di semua masjid dan surau, masih terdapat nazir dan ahli jawatankuasa masjid tidak mengendahkan arahan serta notis ini.

"Semua pihak seharusnya menghormati dan mematuhi arahan ini, dan tidak sepatutnya mempertikaikan pelaksanaan undang-undang itu termasuklah sesetengah wakil rakyat kerajaan negeri sendiri," katanya sewaktu berucap pada majlis perasmian Masjid Sungai Merab yang disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini semalam.

Mohammed Khusrin berkata, semua pihak perlu memberi kerjasama kepada usaha MAIS dan JAIS untuk menjadikan masjid di Selangor bebas daripada aktiviti ceramah yang boleh memecah-belahkan perpaduan umat Islam. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain