suria

Malaysia Mahu Lihat Perdamaian Negara Di Myanmar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata bahawa Malaysia ingin melihat perdamaian di Myanmar.

"Saya ingin melihat perdamaian negara di Myanmar. Saya fikir kerajaan sana tahu apa yang diperlukan untuk mendapatkan keyakinan dan sokongan masyarakat antarabangsa," katanya ketika ditanya mengenai impiannya bagi negara itu sempena sambutan hari lahir pemimpin pro-demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi yang ke-65 hari ini.

Menjawab soalan berhubung apa yang patut dilakukan Asean dalam menangani isu Myanmar, Najib berkata 10 negara anggota pertubuhan serantau itu berharap pelan damai bagi demokrasi itu memerlukan satu penyelesaian yang inklusif.

"Itu adalah harapan negara-negara Asean," katanya.

Sebelum itu, Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merasmikan mesyuarat agung ke-57 Parti Progresif Penduduk di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pelan damai kepada demokrasi itu akan merintis jalan bagi pilihan raya tahun ini di Myanmar, sebuah negara yang diperintah oleh junta tentera sejak 1962.

Sepuluh langkah pelan damai itu antara lain bertujuan membangunkan sebuah negara demokratik yang baru, aman dan moden.

Suu Kyi, pemenang anugerah Nobel, telah menghabiskan 15 tahun daripada 21 tahun dalam tahanan kerana berjuang bagi demokrasi dan kini menjalani tahanan rumah.

Parti pro-demokrasi Liga Demokrasi Kebangsaan (NDL) pimpinannya telah mendapat kemenangan besar dalam pilihan raya pada 1990 tetapi tidak diiktiraf junta tentera. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain