suria

Calon BN Mesti Popular Rakyat Bukan Parti Sahaja

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno mahu pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memilih calon yang popular dan disenangi rakyat bukan terkenal dalam parti semata-mata jika pilihan raya kecil Parlimen Batu diadakan.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, kaedah pemilihan bakal calon perlu diperbaharui iaitu dengan tidak mengambil kitra dari mana parti komponen sekalipun supaya peluang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya selepas ini akan lebih cerah.

Selain itu, beliau menegaskan, BN tidak boleh terus terikat dengan tradisi bahawa sesuatu kawasan hanya untuk parti yang tertentu.

"Kita tak boleh lagi pilih calon yang hanya popular dalam parti atau di kalangan kita sahaja, calon yang terbaik ialah yang popular di kalangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Beliau mengulas kemungkinan pilihan raya kecil Parlimen Batu diadakan berikutan kedudukan penyandangnya, Tian Chua dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mungkin kehilangan kerusi itu selepas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi kelmarin kerana mencederakan anggota polis pada 2007.

Menurut Pengerusi DAP yang juga peguam terkenal, Karpal Singh, di bawah Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan Tian Chua tidak lagi layak menduduki kerusi Parlimen berkenaan.

Hakim Datuk Ghazali Cha turut mengurangkan jumlah hukuman denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Pada 22 Oktober tahun lalu, Tian Chua dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah didapati bersalah mencederakan anggota polis pada 11 Disember 2007.

Tian Chua, 47, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen di sini pada 10.45 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada pilihan raya umum ke-12 2008, Tian Chua memenangi kerusi Parlimen Batu menewaskan calon Barisan Nasional dari Gerakan, Lim Si Pin dengan majoriti 9,445 undi.

Artikel Berikut

Artikel Lain