suria

Tertuduh Hina Sultan Perak Dikesan Melalui Jaring

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Mazlan Othman berkata, beliau dapat mengesan nama tertuduh yang didakwa menghina Sultan Perak melalui syarikat pemberi perkhidmatan internet iaitu Jaring, Mahkamah Sesyen diberitahu di sini semalam.

Mazlan, 44, berkata, setelah menerima aduan daripada Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Rafidah Mohamed Daud, 30, pada 10 Februari tahun lepas, beliau mengarahkan kakitangannya Amar Kaur untuk menyiasat nama pemberi perkhidmatan internet tersebut bagi mengesan pengguna Internet Protokol (IP) yang menghantar komen dalam portal tersebut.

"Puan Amar Kaur telah memaklumkan kepada saya bahawa pemberi perkhidmatan internet tersebut adalah Jaring. Selepas itu saya meminta Amar menghantar e-mel kepada pihak Jaring bagi mendapatkan maklumat pengguna IP tersebut pada tarikh kejadian iaitu 7 dan 8 Februari 2009.

"Pada hari itu juga (10 Feb 2009) lebih kurang pukul 3.30 petang saya menerima e-mel balas daripada Pengurus Bahagian Kawalselia Jaring, Mahfuzah Azhari memaklumkan kepada saya bahawa pengguna IP pada masa itu adalah Muslim Ahmad (tertuduh)," katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi dalam pemeriksaan utama.

Mazlan berkata, sejurus menerima laporan serta mengetahui maklumat identiti pengguna itu, beliau mengarahkan Pegawai Diberikuasa untuk menyiasat iaitu Ahmad Ariffin Shamsudin memohon waran geledah daripada mahkamah bagi membuat pemeriksaan lanjut berhubung aduan yang diterima.

"Pada 20 Februari tahun lalu, saya mengarahkan Ahmad Ariffin memantau lokasi premis (rumah tertuduh) di alamat No. 1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di sini dan hasil siasatan selepas memasuki premis itu, pihak SKMM merampas komputer," katanya.

Beliau berkata, komputer itu kemudiannya diserahkan kepada pihak Cyber Security Malaysia bagi membuat pemeriksaan forensik.

Mazlan yang merupakan saksi terakhir pendakwaan memberi keterangan bagi kes Muslim Ahmad, 54, yang menghadapi tiga pertuduhan pindaan menghantar komen yang jelek sifatnya di laman web www.perak,gov.my.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 2.21 petang, 7 Februari tahun lepas. Dia juga didakwa melakukan kesalahan sama pada pukul 2.27 petang hari yang sama, dan bagi pertuduhan ketiga dia didakwa melakukan kesalahan sama pada pukul 4.39 petang, 8 Februari tahun lepas.

Muslim yang bekerja sendiri, didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di alamat No. 1, Jalan 5/26, Taman Sri Rampai, Setapak, di sini.

Muslim, diwakili peguam K. Periasamy dan N.Nathan, didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Hakim S.M Komathy Suppiah yang mendengar perbicaraan kes itu mengarahkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan masing-masing Isnin ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain