suria

Sekatan Di Gaza Mesti Dihentikan Terus

DUBAI: Desakan daripada kerajaan-kerajaan dan pertubuhan hak asasi manusia yang meminta Israel menarik balik sekatan kejam di Gaza semakin lantang kedengaran.

Turut sama bersuara ialah Amnesty International yang mendesak Tel Aviv supaya segera menarik balik dan menghentikan terus sekatan di perairan semenanjung itu tanpa berlengah-lengah lagi.

Pengepungan itu yang mengenakan tindakan kolektif terhadap 1.4 juta rakyat Palestin adalah jelas satu pencabulan undang-undang antarabangsa, menurut pertubuhan dalam laman webnya.

Pertubuhan hak asasi itu secara tidak langsung menyentuh pengumuman Kabinet Israel pada Khamis lepas bahawa sekatan itu akan dilonggarkan dengan membolehkan lebih banyak barangan yang diistilahkan sebagai "barangan awam" memasuki wilayah itu.

"Pengumuman ini jelas menunjukkan bahawa Israel tidak berhasrat untuk menghentikan kekejaman yang terus dilakukan terhadap penduduk di Gaza, tetapi hanya sekadar melonggarkannya. Ini tidak cukup," kata Malcolm Smart, Pengarah Amnesty International Timur Tengah dan Afrika Utara.

Beliau berkata sebarang langkah yang dapat membantu krisis kemanusiaan teruk di Gaza amat dialu-alukan tetapi Israel kini hendaklah mematuhi tanggungjawabnya sebagai kuasa penjajah mengikut undang-undang antarabangsa dan segera menarik balik sekatan yang dilakukan.

"Sebagaimana pentingnya membenarkan barangan memasuki Gaza, penting juga untuk membenarkan barangan eksport keluar dari Gaza, namun tiada langsung perkara ini dinyatakan dalam pengumuman itu," katanya.

Smart berkata menghentikan pelbagai barangan eksport, bahan-bahan mentah dan pergerakan orang ramai telah memusnahkan ekonomi Gaza dan mengakibatkan pengangguran, kemiskinan dan kebergantungan kepada bantuan agensi-agensi untuk meneruskan kehidupan.

"Masalah ini tidak akan dapat diselesaikan manakala sekatan akan diteruskan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain