suria

RMK-10: Kerajaan Peruntuk Antara RM90-RM91 Bilion Untuk 2011-2012

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperuntukkan antara RM90 bilion dan RM91 bilion bagi perbelanjaan untuk dua tahun pertama Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), kata Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noriyah Ahmad.

"Apa yang kita umumkan untuk RMK-10 dahulu adalah lebih kepada hala tuju strategik dan dasar. Kami kini menyediakan belanjawan dan menyasarkan antara RM90-RM91 bilion untuk tempoh 2011-2012," kata beliau.

Dalam peruntukan RM230 bilion untuk RMK-10, beliau berkata belanjawan dan perancangan akan lebih mengikut keadaan semasa dan relevan sepanjang pelaksanaan pelan dua tahun.

Kesemua kementerian akan menerima peruntukkan masing-masing sekali dalam dua tahun. Ini berbeza daripada amalan sebelum ini di mana kementerian menerima keseluruhan peruntukan untuk lima tahun.

"Kita memerlukan strategi baru untuk memulihkan semula ekonomi. Keadaan ekonomi sekarang tidak sama dengan tahun 2005 (RMK-9), yang mana ekonomi sangat baik.

"Untuk RMK-10, kita telah tukar strategi, yang mana kita buat pelan dua tahun dan kit ahanya memperuntukkan sumber untuk dua tahun. Kenapa? Kerana kita lihat projek-projek kita boleh disiapkan dalam masa 18-24 bulan," kata beliau pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan: Model Baru Ekonomi, Globalisasi dan Pengguna Malaysia, di sini hari ini.

Noriyah berkata peruntukkan akan diberikan bagi projek-projek yang telah dijalankan.

"Dalam RMK-10 kita juga tidak akan lagi menumpukan kepada pembinaan bangunan-bangunan. apa yang kita mahu ialah infrastruktur lain seperti dana serta penyelidikan dan pembangunan.

"Contohnya, untuk meningkatkan modal insan, daripada kita membina pusat-pusat latihan yang memakan masa yang lama, adalah lebih baik kita menghantar tenaga kerja untuk dilatih di institusi-institusi latihan awam dan swasta yang sedia ada," katanya dan menambah bahawa ini merupakan satu cara yang akan membantu menjana perniagaan untuk sektor swasta.

"Dengan ini, kita tidak perlu mengambil lebih banyak guru dan pelatih dan ini memberi peluang kepada pihak swasta untuk berkembang maju," jelas beliau.

Terdahulu dalam ucapannya, Noriyah berkata antara cabaran utama RMK-10 ialah merangsang pelaburan sektor swasta untuk berkembang pada 12.8 peratus setahun atau RM115 bilion. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain