suria

Polis Selangor Tahan 23 Suspek Judi Haram Piala Dunia

SHAH ALAM: Polis Selangor menahan 23 orang termasuk sembilan wanita warga Indonesia, kerana dipercayai terlibat dalam sindiket perjudian haram bola sepak Piala Dunia 2010 di negeri itu yang membabitkan pertaruhan berjumlah RM15.1 juta.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Asisten Komisioner Omar Mamah berkata, kesemua suspek ditahan dalam beberapa serbuan sejak Selasa lepas di beberapa restoran dan kediaman persendirian di sekitar Petaling Jaya, Subang Jaya, Klang, Ampang dan Kuala Langat.

Beliau berkata 13 suspek lain merupakan lelaki warga tempatan berusia antara 15 hingga 45 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun, manakala warga Indonesia yang ditahan berumur dalam lingkungan 20 hingga 36 tahun.

Siasatan terhadap mereka dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM200,000.

Omar berkata serbuan itu hasil maklumat orang ramai dan operasi seumpamanya akan diteruskan sehingga tamat kejohanan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung di Afrika Selatan.

Beliau berkata polis turut mengesan pertaruhan terbesar bernilai RM5 juta di beberapa premis di sekitar Taman Bukit Mayang Emas Petaling Jaya, USJ Subang Jaya dan Taman Puchong Impian, Puchong.

Katanya modus operandi perjudian haram itu membabitkan penggunaan Internet serta telefon, dan bookie atau ejen akan mengutip wang pertaruhan di restoran.

"Ada di antara pengusaha restoran yang diserbu tidak mengetahui bahawa ada di antara pelanggan mereka yang menjalankan aktiviti perjudian di restoran mereka," katanya.

Siasatan awal juga mendapati ada di antara bookie tersebut menawarkan pinjaman daripada ceti haram kepada mereka yang ingin bertaruh.

Turut dirampas dalam serbuan ialah lima komputer meja, lapan komputer riba, 10 telefon bimbit, satu pencetak, enam modem komputer, tiga buku pertaruhan, satu buku cek, satu alat kelui, satu telefon talian tetap dan wang tunai RM1,295. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain