suria

Polis Cari Saksi Bantu Selesai Kes Rompakan Bersenjata Di Bukit Mertajam

PULAU PINANG: Polis sedang mencari saksi kejadian rompakan bersenjata di Jalan Bukit Maju 2, Bukit Mertajam pada 13 Jun yang mengakibatkan tangan seorang ejen insurans ditetak sehingga putus.

Dalam kejadian itu, tiga lelaki bersenjatakan parang memotong tangan seorang ejen insurans berusia 35 tahun yang memegang sampul surat mengandungi RM5,500 dalam satu kejadian rompakan ngeri di Bukit Mertajam.

Ketika kejadian, mangsa sedang berjalan ke arah keretanya selepas makan lewat malam di sebuah kedai kopi berhampiran apabila dia diserang hendap oleh sekurang-kurangnya tiga lelaki pada 11.30 malam.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah ACP Azman Abd Lah berkata setakat ini, polis hanya bergantung kepada maklumat yang diberikan mangsa kerana tiada saksi lain.

"Mangsa tersebut tidak mampu mengingat apa-apa kerana berada dalam kesakitan selepas diserang dan kami merayu orang ramai tampil memberikan maklumat berhubung kejadian itu bagi membantu menyelesaikan kes," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau yakin ada yang menyaksikan kejadian itu kerana tempatnya terletak hanya beberapa meter dari sebuah kedai kopi.

"Kami telah melancarkan beberapa sekatan jalan raya di kawasan sekitar bagi memperoleh bukti berhubung kejadian tersebut," katanya.

Azman juga meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu supaya segera menghubungi polis di talian 04-5306402. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain