suria

Penternak Ayam Sabung Didakwa Subahat Bunuh Ayah

SHAH ALAM: Seorang penternak ayam sabung kini berhadapan dengan hukuman gantung selepas didakwa bersubahat membunuh bapa kandungnya, yang meninggal dunia hampir setahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Lim Kim Huat, 45, semasa pertuduhan terhadapnya dibacakan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh yang diwakili peguam Gerard Lazarus sekadar menganggukkan kepala tanda memahami pertuduhan tersebut.

Dia didakwa bersubahat dengan dua yang masih bebas untuk membunuh Lim Giek Poh, 68, seorang ahli perniagaan antara pukul 10 pagi 20 Ogos dan 3.30 pagi 21 Ogos 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di rumah nombor 12, Jalan Anggerik Oncidium 31/78 A, Kota Kemuning, Seksyen 31, di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Hemavthi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada prosiding itu, Gerard memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan yang dihadapi.

Majistret Hafizah Abdul Rajak menetapkan sebutan semula kes pada 20 Julai ini sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Artikel Berikut

Artikel Lain