suria

Pencari Siput Temui Mayat Rentung Dalam Kereta

PORT DICKSON: Seorang pencari siput terpaksa melupakan hasratnya untuk mencari rezeki apabila terjumpa satu mayat manusia yang sudah rentung dalam sebuah rangka kereta Honda Accord di kawasan tapak projek perumahan Kampung Kebun Jimah pada pukul 9.30 pagi tadi.

Abdul Taib Hassan yang berusia dalam 40-an memberitahu pemberita, beliau sedang dalam perjalanan untuk mencari siput di sebatang sungai berhampiran apabila melihat sebuah kereta jenis Honda Accord yang sudah terbakar.

"Saya pergi untuk memeriksa kereta itu apabila terlihat rangka manusia di tempat duduk pemandu," katanya.

Beliau kemudian pergi ke balai polis bersama seorang rakannya untuk membuat laporan.

Manurut Ketua Polis Daerah Port Dickson Supritendan Baljeet Singh, kereta itu telah terbakar lebih dari 24 jam. Katanya polis tidak mengesan sebarang unsur jenayah pada rangka dan kereta itu.

"Identiti mayat juga tidak diketahui kerana sudah rentung dan tinggal rangka dan ini menyukarkan kita untuk mengesan identiti mayat itu. Kita juga tidak mengesan sebarang senjata," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mayat tersebut dihantar ke Hospital Port Dickson untuk dibuat ujian DNA bagi mengesan identitinya, katanya lagi.

Isnin lepas, polis menemui mayat rentung dalam sebuah kereta Proton Waja yang terbakar di Taman Seremban Selatan, Baljeet bagaimanapun menolak kemungkinan jika kedua-dua kes mempunyai kaitan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain