suria

Pembantu Kedai Ditemui Mati Dalam Bangunan Terbiar

KANGAR: Seorang pembantu kedai ditemui mati dalam sebuah bangunan terbiar yang dipercayai menjadi kediamannya di Medan Raja Syed Alwi, dekat sini, semalam.

Mayat Ahmad Mezhar Mansur, 40, yang merupakan penghidap diabetis ditemui terbaring kira-kira pukul 4 petang oleh seorang pengawal keselamatan di kawasan itu.

Lelaki yang mempunyai rekod psikiatri itu dipercayai mendiami bangunan itu sejak setahun lalu dan hidup sebatang kara setelah membawa diri meninggalkan keluarganya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Noordin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mayat itu pukul 4 petang.

Katanya, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan tiada kesan kecederaan pada badan mangsa. Dia dipercayai meninggal dunia malam kelmarin.

Abdul Rahman berkata, lelaki yang masih bujang itu menghidap diabetis sejak tiga tahun lalu dan mempunyai rekod psikiatri.

Sementara itu, adik mangsa, Ahmad Mizal Mansur, 38, berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan abangnya yang hidup sebatang kara itu, bulan lalu.

Mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain