suria

Pelajar OKU Ditemui Rentung Dalam Kebakaran Di Teluk Bahang

PULAU PINANG: Seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) ditemui rentung dalam satu kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah di Teluk Bahang di sini hari ini.

Pada kejadian pukul 11.40 pagi itu, Chai Seng A/L Cham Nuai, 11, dipercayai tinggal seorang diri dalam rumah itu kerana ayahnya bekerja manakala anggota keluarga yang lain turut keluar.

Ketua Operasi menyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang A.Monaharan berkata Bomba menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 11.45 pagi.

"Duah buah jentera dengan 20 anggota tiba di tempat kejadian dua minit kemudian tetapi kami gagal menyelamatkan mangsa kerana api telah marak ke seluruh bahagian rumah," katanya.

Beliau berkata pihak bomba mengambil masa selama satu jam untuk memadam api kerana mengalami kesukaran bekalan air sehingga terpaksa terpaksa mengambil air dari pili sejauh kira-kira 800 meter.

Monaharan berkata setelah berjaya memadamkan api dan membuat pemeriksaan, anggota pasukannya menemui satu mayat dalam keadaan terlentang di bahagian dapur rumah itu.

Katanya bomba masih menyiasat punca kebakaran.

Sementara itu kakak mangsa, Jen Chit, 13, ketika ditemui berkata ketika kejadian dia tiada dalam rumah kerana pergi ke tandas yang terletak di luar rumah.

"Bila saya keluar dari tandas, saya ternampak asap, pada mulanya saya menyangka ada orang bakar sampah, tetapi apabila saya sampai di rumah, saya lihat api sedang keluar dari rumah saya," katanya.

Katanya, dia sempat masuk ke rumah untuk menyelamatkan adiknya dengan menarik tangan tetapi beliau terpaksa melepaskan tangan adiknya itu kerana tidak tahan panas bahang api.

"Adik saya kemudian lari masuk ke dalam bilik kerana mungkin berasa takut dan saya terus keluar dari rumah," katanya.

Jen Chit berkata beberapa hari sebelum kejadian, adiknya pernah membakar katil dalam rumah tetapi sempat disedari oleh ayahnya.

Ayah mangsa, Cham Nuai A/L Sawin, 46, berkata beliau berasa sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu kerana Chai Seng baru boleh bertutur satu dua perkataan semalam.

Katanya walaupun anaknya itu cacat tetapi dia sangat aktif di sekolah dan di rumah dan pada malam semalam, Chai Seng telah boleh memanggil "Mak" kepada ibunya.

Cham Nuai berkata ketika kejadian beliau berada di Jalan Burmah kerana bekerja dan bergegas pulang selepas menerima panggilan tetapi tiba lewat ke tempat kejadian kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain