suria

Menteri Kabinet Lawat NKEA Di Kelana Jaya

PETALING JAYA: Beberapa menteri Kabinet hari ini melawat makmal Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk mengetahui perkembangan terkini makmal berkenaan.

Antara yang hadir Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Maximus Ongkili, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Tan Sri Bernard Giluk Dompok.

Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri sedang menjayakan makmal-makmal NKEA yang sedang dijalankan sepanjang tempoh 10 minggu, dari Jun hingga Ogos.

Makmal itu mengenal pasti dan mengkaji daya maju perancangan dan inisiatif dalam setiap NKEA selain membangunkan pelan pelaksanaan bagi memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Ketika ini makmal ditempatkan di Akademi Penerbangan Malaysia Kelana Jaya sejak 1 Jun lepas dan akan berakhir pada 31 Julai depan.

Sebanyak 12 NKEA dikenal pasti sebagai asas dalam memastikan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) (2011-2015) meliputi minyak dan gas, minyak sawit dan produk berkaitan, perkhidmatan kewangan, runcit dan borong, pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pendidikan, elektrik dan elektronik, perkhidmatan perniagaan, penjagaan kesihatan swasta, pertanian dan Greater Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain