suria

Kilang Perabot Terbakar, Kerugian RM2 Juta

KUALA LUMPUR: Syarikat membuat perabot, Spektrum Siber Sdn Bhd mengalami kerugian kira-kira RM2 juta apabila kilangnya musnah dalam kebakaran di kawasan perindustrian Jalan Taming Jaya, Balakong, dekat sini.

Timbalan Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah Mazlan, Zainol berkata, seramai 60 anggota dan enam jentera termasuk dari Balai Bomba Kajang dan Pandan Indah bergegas ke tempat kejadian sejurus bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.12 petang.

"Kilang yang berkeluasan 400x100 itu musnah hampir 90 peratus disebabkan terdapat bahan-bahan mudah terbakar seperti fiber dan plastik yang menyebabkan api merebak dengan cepat," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana tiada pekerja di dalam kilang berkenaan ekoran waktu bekerja telah tamat.

"Bagaimanapun pasukan kita berjaya mengawal api dari merebak ke kilang bersebelahan dan kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya setengah jam kemudian," katanya.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain