suria

Kastam Hyderabad Tahan 'Keldai Dadah' Warga India Dalam Perjalanan Ke Malaysia

NEW DELHI: Terdorong dengan peningkatan permintaan untuk mendapatkan ketamin, sejenis dadah yang sering digunakan semasa berpesta, pengedar dadah India kini menggunakan kaedah luar biasa bagi menyeludup keluar narkotik itu, yang amat mudah diperoleh di kawasan ini.

Seorang penumpang penerbangan yang menyembunyikan lapan kilogram ketamin dalam bingkai gambar, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi di Shamshabad, Hyderabad, pada Selasa malam.

Suspek yang dipercayai seorang "keldai dadah", cuba menyeludup narkotik bernilai hampir RM30,000 dari Chennai ke Malaysia melalui Hyderabad - ibu negeri Andhra Pradesh.

Modus operandinya terbongkar selepas mesin pengimbas di lapangan terbang itu mengesan serbuk putih dalam beg beliau yang didaftar masuk, kata penyiasat.

Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, pegawai kastam terus menahan lelaki itu untuk disoal siasat, namun sumber bekalan belum dapat ditentukan, begitu juga butiran pembelinya di Malaysia.

"Walaupun pada awalnya kami mengesyaki serbuk itu adalah heroin, ujian mengesahkan ia adalah ketamin. Namun kami telah menghantar sampel untuk pengesahan muktamad.

"Kes itu telah didaftarkan sebagai melanggar peraturan Kastam dan suspek telah ditahan oleh pegawai kastam.

"Suspek itu berkata dia tidak memahami bahasa lain kecuali Tamil. Jadi proses soal siasat masih dijalankan," kata seorang pegawai kastam kepada media. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain