suria

Anwar Gagal Peroleh Laporan Perubatan Saiful

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibekalkan beberapa dokumen termasuk laporan perubatan Mohd Saiful Azlan Bukhari.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu atas alasan tiada peruntukan atau asas perundangan yang membolehkan dokumen tersebut dibekalkan kepada barisan pembelaan yang mewakili Anwar dalam perbicaraan kes liwatnya.

Mohamad Zabidin terlebih dahulu mendengar hujahan peguam Karpal Singh selaku peguam utama Ketua Pembangkang tersebut dan juga hujahan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang mewakili barisan pendakwaan.

Karpal menghujahkan pihaknya memerlukan dokumen-dokumen itu untuk kegunaan profesor perubatan forensik yang didatangkan khas dari Australia, Dr David Lawrence Wells bagi membantu barisan pembelaan dalam menyoal balas saksi perubatan.

“Semua dokumen itu adalah relevan untuk membolehkan Wells menasihatkan barisan pembelaan bagi menyoal balas Dr Mohd Razali Ibrahim (saksi pendakwaan kedua).

“Wells dalam afidavitnya turut mengesahkan ketiadaan dokumen tersebut menjejaskan kebolehannya dalam membantu pembelaan,” hujah Karpal.

Bagaimanapun, Mohd Yusof membidas hujahan itu dengan berkata, dokumen-dokumen tersebut tidak diperlukan oleh Wells kerana saksi pendakwaan boleh disoal balas semasa perbicaraan.

“Berdasarkan kelayakan yang dinyatakan Wells pada afidavitnya, beliau semestinya pakar dalam bidangnya. Sudah pasti beliau mengetahui apakah kelayakan atau kemahiran yang diperlukan untuk memeriksa seseorang bagi menentukan jika benar berlaku kejadian liwat.

“Beliau juga ada menulis buku dan artikel berkenaan subjek tersebut dan sudah tentu beliau mengetahui prosedur yang digunakan dalam pemeriksaan klinikal dan forensik,” hujah Mohd Yusof.

Beliau juga memohon permohonan itu ditolak memandangkan tiada peruntukan undang-undang yang dinyatakan secara spesifik bagi menyokong permohonan Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut.

Sementara itu, Karpal ketika ditemui berkata, pihaknya akan memfailkan notis kebenaran untuk merayu berhubung keputusan itu di Mahkamah Rayuan Isnin ini.

Ini merupakan kali kedua cubaan Anwar untuk mendapatkan dokumen ditolak selepas permohonan asalnya yang berlanjutan sehingga ke Mahkamah Persekutuan ditolak pada 29 Januari lalu.

Pada 4 Jun lalu, Anwar memfailkan notis usul untuk mendapatkan dokumen tersebut, iaitu sebelum barisan pembelaan perlu menyoal balas Mohd Razali, seorang pakar bedah am dari Hospital Kuala Lumpur.

Permohonan itu menyebabkan perbicaraan liwat ditangguhkan kepada 14 Julai ini.

Selain sejarah perubatan lengkap Mohd Saiful, Anwar turut memohon dibekalkan dengan nota klinikal, bahan, spesimen, pemerhatian, e-mail, nota tulisan tangan, surat, catatan, nota pemerhatian dan kit serangan seksual yang digunakan dalam pemeriksaan itu.

Anwar juga meminta dikemukakan dengan kelayakan dan pengalaman Mohd Razali dan dua lagi doktor, iaitu pakar rawatan kecemasan, Dr Khairul Nizam Hassan dan pakar patologi forensik, Dr Siew Sheue Feng yang memeriksa Mohd Saiful pada 28 Jun 2008.

Anwar sedang dibicarakan kerana didakwa meliwat Mohd Saiful, 25, antara pukul 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun 2008 di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini,

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara 20 tahun dan disebat jika sabit kesalahan.

Artikel Berikut

Artikel Lain