suria

Polis Tumpas Sindiket Perjudian Haram Bola Sepak Piala Dunia

IPOH: Polis menumpaskan sindiket perjudian bola sepak Piala Dunia membabitkan nilai pertaruhan lebih RM2 juta serta menahan empat lelaki dalam empat serbuan di sekitar bandar raya ini semalam dan awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, kesemua lelaki berumur antara 25 dan 31 tahun itu ditahan berasingan di empat buah rumah antara 11 malam semalam dan awal hari ini kerana dipercayai terbabit dalam kes perjudian kejohanan bola sepak itu.

"Mereka ditahan di Taman Rasi Jaya Menglembu, Taman Ehsan Tawas Baru, Medan Cator Garden dan Meru Valley Golf Resot," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Azisman berkata, keempat-empat lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Pertaruhan 1963.

"Polis dimaklumkan berhubung kegiatan itu daripada orang awam dan bertindak membuat intipan dengan bantuan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK)," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan mereka dipercayai bermula empat bulan lepas dengan nilai pertaruhan sebulan RM1.2 juta dan ini merupakan kes pertama sindiket terbabit dikesan tahun ini.

Katanya, sindiket terbabit bukan sahaja menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak Piala Dunia, malah turut membabitkan bola sepak Liga Inggeris dan Itali.

Polis turut merampas lapan buah komputer, telefon bimbit, mesin faks serta beberapa helai kertas pertaruhan yang kesemuanya bernilai RM30,000.

Azisman berkata, sindiket berkenaan dipercayai turut mempunyai rangkaian kerjasama dengan sindiket perjudian antarabangsa.

Siasatan juga mendapati, sindiket terbabit mengunakan 'kata laluan' bagi pelanggan mereka yang membuat pertaruhan dengan bayaran dibuat melalui akaun bank. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain