suria

Polis Serbu Dua Kafe Siber, Rampas 35 Komputer

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menyerbu dua buah kafe siber di Damansara Perdana dekat sini dan menahan tiga lelaki termasuk dua warga Indonesia dalam operasi membanteras judi secara talian.

Ketua operasi, Supritendan Maszely Minhad dari Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Bukit Aman berkata, pihaknya turut merampas 35 unit komputer bernilai RM40,000 dan wang tunai berjumlah RM1,326.

Ketiga-tiga lelaki yang berusia antara 23 dan 30 tahun itu adalah penjaga kedua-dua premis tersebut yang terletak berhampiran, katanya kepada pemberita di sini.

Kedua-dua premis tersebut katanya pernah diserbu beberapa kali sebelum ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain