suria

Penyamun Ditahan Dua Jam Selepas Menyamun

KUALA LUMPUR: Tidak berpuas hati dengan wang tunai kira-kira RM600, seorang lelaki yang baru dua jam menyamun beg tangan seorang wanita berjaya ditangkap polis selepas cuba menunaikan cek milik mangsa dalam satu kejadian di Kepong hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, lelaki itu dilengah-lengahkan pihak bank yang menghubungi pihak polis selepas mengesyakki sesuatu yang tidak kena ketika dia cuba menunaikan cek bernilai RM3,000.

"Sebelum itu, lelaki tersebut dipercayai menyamun seorang akauntan dalam satu kejadian pada pukul 8.30 pagi di Taman Kepong Baru dan melarikan sebuah beg tangan mengandungi wang tunai kira-kira RM600, dua keping cek dan dokumen peribadi," katanya kepada pemberita di sini.

Zakaria berkata, mangsa yang berusia 40 tahun kemudian membuat laporan di balai polis berhampiran.

Kira-kira pukul 10.30 pagi pihak polis menerima panggilan daripada sebuah bank mengenai seorang lelaki cuba menunaikan sekeping cek dan selepas dimaklumkan mengenai kejadian samun itu, pihak bank bertindak membawa lelaki tersebut ke sebuah bilik kononnya prosedur biasa untuk menunaikan cek.

"Polis yang tiba kemudian terus memberkas suspek yang terpinga-pinga dan terkejut akan kehadiran pasukan kami," katanya.

Suspek kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain