suria

Pemberian Subsidi Pada Petani Akan Dikaji Semula

GURUN: Kerajaan akan mengkaji semula pemberian subsidi kepada petani, penternak dan nelayan supaya ia bersesuaian dengan keadaan semasa dan subsidi itu disalurkan kepada pihak yang betul-betul memerlukan bantuan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum.

Katanya, ada beberapa insentif diberikan kerajaan di bawah dasar jaminan makanan untuk membantu petani, penternak dan nelayan ketika harga minyak naik tetapi kerana harga minyak sudah stabil, subsidi itu akan dikaji semula.

"Sekarang ini harga minyak dah stabil. Jika tidak, kerajaan terpaksa menanggung begitu banyak beban kewangan yang sepatutnya kita boleh guna untuk benda lain.

"Setiap benda yang kita bagi akan dikaji semula supaya setiap ringgit yang kita belanja itu akan dapat dinikmati oleh rakyat dan ini tidak akan jadi pembaziran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gurun di sini hari ini.

Beliau berkata, subsidi yang dikeluarkan kepada petani, penternak dan nelayan itu sepatutnya dinikmati oleh golongan sasar.

Mohd Johari berkata, mungkin subsidi itu boleh digunakan untuk membaiki infrastruktur di kawasan-kawasan yang terlibat dengan masalah banjir seperti mendalamkan sungai dan membina terusan baru.

"Mungkin juga kita boleh membina jeti baru, kawasan pendaratan ikan yang baru, dan dari segi perairan juga dapat diperbaiki. Ia juga dapat memberi kebaikan kepada petani itu sendiri," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Johari menyampaikan cek peruntukan pembangunan bagi tahun 2010 bernilai RM1.3 juta kepada PPK Gurun dan menyampaikan skim pemilikan jentera separuh harga kepada 13 petani serta menyampaikan bantuan banjir kepada 41 orang petani yang bernilai RM246,000. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain