suria

Pelakon Komedi, Lima Rakan Bebas Dengan Jaminan Polis

KUALA LUMPUR: Seorang pelakon komedi popular dan lima rakannya yang ditahan atas kesalahan dadah pada 13 Jun lalu dibebaskan dengan jaminan polis tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, pelakon berusia 41 tahun dan lima rakannya itu dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya setelah polis selesai mengambil keterangan.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut... kesemua suspek berada dalam pemerhatian kita lagi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kesemua suspek ditahan empat hari lalu dalam satu serbuan kerana disyaki memiliki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 40 gram di sebuah rumah di Jalan PJS7, Subang Jaya dekat sini.

Kesemua suspek ditahan reman selama tiga hari yang berakhir hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain