suria

Hukuman Penjara Tian Chua Diketepi, Hanya Didenda RM2,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengetepikan hukuman penjara enam bulan ke atas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang kerana mencederakan anggota polis pada 2007.

Hakim Datuk Ghazali Cha turut mengurangkan jumlah hukuman denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Pada 22 Oktober tahun lepas, Tian Chua dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah didapati bersalah mencederakan anggota polis pada 11 Disember 2007.

Tian Chua, 47, didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Konstabel Rosyaidi Anuar, 22, dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di jalan masuk ke Bangunan Parlimen di sini pada 10.45 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain