suria

Tiada Konflik Antara MEB dan Laporan MTEN

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak terdapat percanggahan mengenai kedudukan ekuiti bumiputera dalam Model Baru Ekonomi dan Rancangan Malaysia ke-10 dengan laporan yang dikeluarkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) seperti yang didakwa pihak tertentu.

"Tiada sebarang konflik. Kena faham. Laporan oleh MTEN adalah laporan mereka tetapi pembentangan yang saya buat di Dewan Rakyat adalah pendirian kerajaan," katanya.

Najib, yang juga Pengerusi BN, diminta mengulas dakwaan pembangkang kononnya terdapat percanggahan antara pembentangan RMK-10 dengan laporan MTEN mengenai kedudukan sebenar ekuiti 30 peratus bumiputera.

"Saya tidak menjanjikan tindakan affirmatif akan dihapuskan. Itu salah tanggapan. Apa yang saya kata bahawa tindakan affirmatif akan dilaksanakan dengan cara yang lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit, lebih daripada cara dan kaedah dulu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini malam ini.

"Dan kita juga memberi tumpuan kepada pendapatan 40 peratus seisi rumah tanpa mengira kaum. Kita juga memberi tumpuan kepada peranan sektor swasta yang sudah tentu akan menolong semua pihak dalam membangunkan negara kita dan mendapat peluang yang lebih dalam kita memacu ekonomi negara," katanya lagi.

Najib berkata kerajaan juga akan memberi butiran lanjut mengenai 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan huraian untuk membangunkan NKEA terlibat serta subsektor yang lain dalam menyumbang kepada lonjakan per kapita yang diharapkan. -BERNAMA

Artikel Lain