suria

Tarik Balik Sekatan Ke Atas Gaza Satu-Satunya Penyelesaian - IRC

KUALA LUMPUR: Menyalurkan bantuan kemanusiaan tidak dapat menyelesaikan penderitaan yang dihadapi oleh 1.5 juta penduduk Gaza.

Sebaliknya, satu-satunya penyelesaian ialah menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza, kata Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) hari ini.

Sekatan itu yang bakal memasuki tahun keempat, telah menghalang sebarang kemungkinan untuk pembangunan ekonomi, organisasi itu berkata penduduk Gaza terus dihimpit pengangguran, kemiskinan dan peperangan.

Sistem penjagaan kesihatan di Gaza, sementara itu, sentiasa mencatatkan paras yang rendah, katanya.

Seluruh penduduk awamnya telah dihukum atas perbuatan yang bukan tanggungjawab mereka dan kepungan itu adalah satu hukuman kolektif yang dikenakan, dalam pencabulan nyata kewajipan Israel di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, kata ICRC dalam satu kenyataan dari Geneva/Baitulmaqdis, yang dikeluarkan di sini.

Ketua Operasi untuk Timur Tengah Beatrice Magevand-Rongo berkata, kepungan itu menyebabkan kesan kemusnahan kepada penduduk Gaza.

"Kerana itu kami mendesak Israel agar menghentikan kepungan ini dan menggesa semua pihak yang mempunyai pengaruh ke atas situasi ini, termasuk Hamas, agar membantu penduduk awam Gaza.

"Hak Israel untuk memastikan aspek keselamatan mestilah diseimbangkan dengan hak rakyat Palestin untuk hidup normal dan menghormati kehidupan, tegas beliau.

ICRC, yang mempunyai pejabat delegasi serantau di sini berkata komuniti antarabangsa harus memainkan peranannya bagi memastikan rayuan oleh pelbagai negara dan pertubuhan antarabangsa agar sekatan itu dihentikan, akhirnya diambil peduli.

Di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Israel mesti memastikan keperluan asas rakyat Gaza termasuk penjagaan kesihatan yang mencukupi dipenuhi manakala bagi pihak berkuasa Palestin harus memainkan peranan di bawah kuasa mereka untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang sewajarnya, membekalkan elektrik dan menyelia kemudahan awam untuk penduduk Gaza, tegasnya.

Semenanjung Gaza telah dikenakan sekatan oleh Israel sejak Jun 2007 apabila Hamas mengambil alih kuasa ke atas Gaza.

Menurut ICRC, semua negara mempunyai kewajipan untuk membenarkan dan memudahkan laluan konsainmen bantuan, peralatan dan kakitangan.

Ia juga merujuk kepada tentera Israel Gilad Shalit yang bakal memasuki tahun kelima dalam tahanan Hamas di mana kumpulan itu telah menolak permintaan ICRC untuk melawatnya.

Tindakan itu jelas telah mencabul undang-undang kemanusiaan antarabangsa di mana Hamas juga tidak membenarkan Shalit berhubung dengan keluarganya.

Berhubung situasi di Gaza yang sekali lagi menjadi tumpuan apabila insiden serius berlaku pada 31 Mei lepas antara tentera Israel dan aktivis yang mengetuai flotila bantuan ke Gaza, ICRC berkata, walaupun kira-kira 80 jenis barangan tidak dibenarkan dibawa masuk ke Gaza, sekali ganda daripada tahun lepas berikutan sekatan itu, lebih 4,000 barang dibenarkan untuk dibawa masuk.

Nelayan Gaza turut menerima kesan yang teruk akibat sekatan itu apabila saiz kawasan tangkapan ikan telah dihadkan dan terbaru, mereka telah dikenakan sekatan untuk tiga batu nautika menyebabkan kuantiti dan kualiti tangkapan mereka berkurangan.

ICRC berkata penduduk Gaza turut menanggung derita berikutan krisis bekalan elektrik apabila bekalan terganggu purata tujuh jam sehari.

Hospital bergantung kepada generator untuk menampung bekalan elektrik harian yang terganggu dan ketiadaan elektrik menyebabkan risiko yang serius kepada rawatan pesakit.

Bekalan ubat-ubatan juga sentiasa tidak mencukupi selepas kerjasama terhenti antara pihak berkuasa Palestin di Ramallah dan Gaza.

Eileen Daly, penyelaras kesihatan ICRC di wilayah itu berkata: "Kesihatan telah dipolitikkan... ia adalah punca utama sistem itu merosot. Melainkan perubahan dilakukan, keadaan akan menjadi semakin buruk." - BERNAMA

Artikel Lain