suria

Rakyat Malaysia Buktikan Mereka Juga Boleh Berjaya Dirantau...

PEMBUKAAN cabang restoran Secret Recipe dan Madam Kay di Melbourne membuktikan bahawa warna kulit serta latar belakang bangsa bukanlah penghalang untuk mengecapi sukses di negara asing.

Malah ia menjadi satu elemen keunikan yang amat istimewa. Ada beberapa orang lagi yang berasal dari Malaysia yang berjaya dengan cemerlangnya di rantau ini. Sebagai contoh Pooh Ling, naib juara Master Chief 2009, Guy Sebastian juara Australia Idol dan Dr Abd Rahim Ghouse, CEO Kuwait Finance House.

Ada juga beberapa nama yang tidak saya nyatakan di sini, seperti beberapa orang pakar dalam bidang perubatan, seni bina dan pendidikan. Tapi yang paling penting, ke mana jua kita pergi, tiada alasan untuk kita tidak menjadi cemerlang dan berjaya.

Menjadi golongan minoriti tidak menghalang seseorang untuk mencapai tahap kecemerlangan yang maksimum di negara orang. Yang paling penting usaha dan semangat yang jitu dan kental dalam mensasarkan kejayaan.

Kalau dikatakan tidak wujud elemen diskriminasi ataupun favorisma, ia mungkin sekadar retorik semata-mata, ia pastinya ada, namun sejauh manakah kita mampu serap dan jadikan kekurangan kita sebagai suatu kecemerlangan untuk terus maju dan berjaya.

Mencari alasan untuk gagal adalah cukup mudah, namun mencipta resepi kejayaan tidaklah sesenang yang kita sangkakan. Apabila gagal sering kita menunding jari kepada orang lain, namun berapa ramai di antara kita yang sanggup untuk bermuhasabah diri dan memperbaiki kelemahan yang kita miliki.

Sebagai contoh, minggu lepas merupakan hari kemuncak bagi rancangan Australia Got Talent, yang rata-ratanya didominasi oleh golongan pendatang yang tinggal menetap di sini. Dan ironisnya, ia dimenangi oleh kumpulan yang mengelarkan diri mereka Justice Crew.

Justice Crew merupakan sebuah kumpulan tarian yang dianggotai oleh sembilan anak muda. Mereka ini berasal dari keluarga pendatang yang tinggal di sekitar NSW, Australia. Keluarga mereka datang ke sini dengan harapan baru dan mimpi yang baru, agar dapat mengubah nasib.

Kesemua sembilan remaja ini membina persahabatan yang membawa kepada persaudaraan, kerana bagi meraka ia merupakan asas binaan terpenting yang menyumbang ke arah kecemerlangan mereka.

Berlainan bangsa, warna kulit, sempadan tempat dan bahasa ibunda, tidak menjadi faktor penghalang kerana di mana bumi di pijak, di situ langit di junjung. Walaupun berlainan agama dan budaya, apatah lagi dengan wujudnya perbezaan pendapat, penduduk yang mendiami bumi kangaroo ini, sentiasa menunjukkan sikap saling hormat menghormati dan bertolak ansur dalam hampir setiap perkara.

Ikatan yang kuat ini memungkinkan rakyat di sini membangunkan satu landasan yang kondusif untuk memantapkan perpaduan kaum. Namun kepelbagaian aroma ini bukan menjadi penghalang untuk mereka menikmati kehidupan yang harmoni, simbiosis dan aman seperti yang wujud sekarang. Ini yang kita mahukan, ini juga yang kita impikan di bumi tercinta Malaysia.

Maka secara tuntasnya, terbukti, kejayaan seseorang itu bukan lahir dari warna kulit yang dimiliki apatah lagi keturunan yang di warisi, namun banyak bergantung kepada sikap dan kemahuan diri yang dipadu. Mimpi merupakan satu motivasi yang boleh mencernakan matlamat. Tapi bukan mimpi mat jenin yang kita inginkan.

Mimpi berlandaskan matlamat yang didokong dengan impian untuk direalitikan merupakan pemangkin terhadap setiap kejayaan. Maka benarlah kata Isaiah Berlin, “Kehidupan boleh dilihat daripada banyak jendela”.

Bagi saya, jika kita rajin berusaha, satu pintu tertutup pasti akan ada satu lagi pintu lain yang terbuka untuk kita dan selagi kita positif, tidak ada elemen negatif yang tidak boleh kita harungi. Bagi diri ini juga,setiap insan itu sama sahaja, warna kulit atau bangsa bukanlah pengukur kepada kehebatan seseorang.

Anak rantau di negara orang, jika pandai membawa diri, tiada kemuncak yang tidak boleh didaki, tiada lurah yang tidak boleh diharungi.

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI adalah Honarary Visiting Academician di University of Melbourne. Beliau boleh dihubungi menerusi email, [email protected]

Artikel Lain