suria

PM Tiba Di Kelantan Untuk Lawatan Kerja Sehari

KOTA BAHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini hari ini untuk melakukan lawatan kerja sehari ke Kelantan.

Ketibaan Najib di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat pagi ini, disambut oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan serta beberapa pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) dan ketua-ketua jabatan.

Pada awal program lawatannya, Perdana Menteri akan mempengerusikan mesyuarat Perhubungan Umno Kelantan yang berlangsung secara tertutup selama sejam pagi ini.

Selepas itu, Perdana Menteri akan melancarkan Ar-Rahnu, Bank Islam dan kemudian berjalan kaki dari majlis pelancaran itu ke Stesen Teksi dan Kereta Sewa Pohon Pinang di sini.

Pada tengah hari, beliau akan menghadap Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di Istana Mahkota, Kubang Kerian, dekat sini, yang merupakan kunjungan pertama Najib terhadap Baginda setelah pulang pada Mac lepas dari menjalani rawatan perubatan akibat masalah jantung di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Najib dijadual merasmikan Program Pemimpin Bersama Rakyat di Wat Machimmaram, Jubakar, Tumpat dan akan menyerahkan bantuan Wang Ehsan kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Tingkatan 6 Atas dan Tingkatan 6 Bawah.

Selepas itu, Perdana Menteri dijadual menghadap Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra di Istana Telipot, Kota Bharu.

Malam ini, Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Kelantan Fiesta 2010 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, yang akan dirasmikan oleh Pemangku Raja Kelantan.

Perdana Menteri dijangka bertolak ke ibu negara selepas majlis itu. -BERNAMA

Artikel Lain