suria

Pejuang Bahasa Minta Masyarakat Henti Panggil 'Ketua' Sebagai 'Bos'

BEIJING: Panggilan 'bos' kepada 'ketua' sebenarnya tidak menunjukkan rasa hormat kepada individu berkenaan sebaliknya ia satu amalan kurang sopan yang bertentangan dengan budaya Melayu, demikian menurut beberapa pejuang bahasa.

Penasihat Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) Prof Emeritus Abdullah Hassan berkata, menggunakan panggilan 'bos' terhadap 'ketua' semakin meluas dan kini semakin membimbangkan.

"Panggilan bos merupakan perkataan main-main yang sebenarnya tiada langsung mempunyai erti hormat seperti yang digunakan dalam lakonan-lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee untuk bergurau dengan ketuanya," kata beliau kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurut Abdullah, beliau terpanggil untuk menyuarakan perkara ini kerana penggunaannya kini semakin meluas dan digunakan oleh pelbagai golongan termasuk penjawat awam kepada ketua jabatan, wakil rakyat malah kepada menteri-menteri sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, lebih manis atau berbudi bahasa sekiranya panggilan itu ditukarkan dengan menggunakan panggilan 'Tuan' untuk ketua lelaki atau 'Puan' untuk wanita.

Presiden PPBMM Prof Madya Hashim Othman turut menyokong perkara itu dengan meminta masyarakat Malaysia supaya tidak lagi menggunakan panggilan 'bos' kepada 'ketua' atau orang atasan bagi membuktikan rasa hormat dan ikhlas kepada individu berkenaan.

Katanya, perkataan bos lebih sesuai digunakan sekiranya seseorang itu ingin memperkenalkan ketua mereka atau seseorang yang dihormati kepada orang lain.

PPBMM berada di China untuk menghadiri Seminar Antarabangsa Pendidikan Bahasa Melayu di Beijing Laurel Hotel, di sini.

Seminar dua hari itu yang berakhir semalam merupakan anjuran PPBMM dengan kerjasama Beijing Foreign Studies University (BFSU) yang dihadiri lebih 150 peserta dari Malaysia dan China.

Artikel Lain