suria

Najib Mahu Pihak Berkuasa Tingkat Kawalan Bendung Jemaah Islamiah

TUMPAT: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mahu supaya pihak berkuasa meningkatkan pengawasan bagi membendung gerakan Jemaah Islamiah (JI) daripada bertapak di negara ini dan menyebarkan fahamannya kepada pelajar institusi pengajian tinggi.

Perdana Menteri berkata, jika penyebaran fahaman gerakan tersebut tidak dibendung segera, ia akan menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.

"Kita mesti sentiasa waspada bahawa ada ancaman dalam pelbagai bentuk untuk menjadikan pelajar sebagai rekrut JI.

"Mereka (pelajar) akan dipengaruhi supaya melakukan keganasan dengan tujuan tertentu dan ini bererti bahawa mereka akan hadapi masa depan yang akan merosakkan diri kalau terjebak dengan kefahaman militan dan ekstrem," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Wat Matchimmaram, Kampung Jubakar di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata telah wujud cubaan untuk menghidupkan semula gerakan JI dengan merekrut pelajar institut pengajian tinggi.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata kumpulan JI warga asing dikesan aktif menghidupkan JI dengan cuba merekrut golongan remaja termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.

Mengulas isu itu, Najib berkata sejarah telah membuktikan bahawa gerakan tersebut telah menular bukan sahaja di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi tetapi juga kepada para pensyarah.

"Seperti yang kita tahu ada pensyarah sebelum ini terlibat dengan gerakan JI sehingga bertindak meletupkan bom.

"Jadi kita akan tingkatkan pengawasan daripada laporan risikan untuk mengetahui perkembangan gerakan tersebut," katanya.

Najib juga berkata, kerajaan akan meningkatkan pengawasan melalui laporan risikan supaya gerakan tersebut dapat dibendung sepenuhnya.

Artikel Lain