suria

Najib Bertemu Pengusaha Kereta Sewa Di Kelantan

KOTA BARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang dalam lawatan kerja sehari ke Kelantan, telah meluangkan masa untuk beramah mesra bersama pengusaha kereta sewa Kelantan di Stesen Teksi Pohon Pinang, di sini hari ini.

Beliau berbual-bual dan beramah mesra dengan beberapa pemandu teksi termasuk Presiden Gabungan Kereta Sewa Kelantan Mat Hussin Awang.

Terdahulu, Najib melancarkan sistem gadaian Islam Ar-Rahnu Bank Islam Berhad dan berjalan 50 meter untuk berjumpa dengan pengusaha teksi dan kereta sewa itu.

Beliau singgah minum di Restoran Mutiara corner, Jalan Datuk Pati bersama-sama pengusaha teksi dan turut menerima satu memorandum daripada Mat Hussin.

Najib kemudian bertolak ke Istana Mahkota Kubang Kerian untuk menghadap Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra.

Ketika ditemui Bernama, Mat Hussin berkata memorandum yang diserah kepada Perdana Menteri itu menyatakan beberapa tuntutan, antaranya meminta skim insurans pihak ketiga diberi kepada pengusaha teksi dengan kadar RM320 berbanding hampir RM800 sekarang.

Beliau berkata, pihaknya juga memohon dibina satu terminal khas untuk pengusaha teksi dan kereta sewa. Sehingga kini terdapat 2,100 pengusaha kereta sewa di Kelantan.

Artikel Lain