suria

Dua Kumpulan Penarik Kereta Gaduh; Tujuh Lelaki Ditahan

KUALA LUMPUR: Dua lelaki bertindak memanggil rakan masing-masing apabila pemilik kereta yang tidak berpuas hati dengan tindakan penarik kereta cuba menarik keretanya tanpa sebarang sebab, menyebabkan berlaku pergaduhan antara mereka.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang semalam itu berpunca daripada penarik kereta, yang secara tiba-tiba menarik kereta milik lelaki berusia 31 tahun, yang juga seorang penarik kereta di Taman Cempaka, Ampang dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Supt Amiruddin Jamaluddin berkata akibat tidak berpuas hati, pemilik kereta terbabit bertindak memanggil rakan-rakannya sehingga berlaku pergaduhan antara dua kumpulan.

"Pada mulanya kedua-dua lelaki itu hanya bertengkar sebelum bertindak memanggil rakan masing-masing sehingga berlaku kekecohan antara kedua-dua kumpulan," katanya kepada pada sidang media di sini.

Beliau berkata, tiada kecederaan serius berlaku pada mereka tetapi keempat-empat cermin tingkap kereta milik lelaki itu pecah dipercayai akibat dibaling dengan batu.

Katanya, tujuh lelaki berumur 20 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Amiruddin menambah, dianggarkan seramai 12 hingga 13 orang dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun terlibat dalam pergaduhan itu.

"Kami masih menyiasat jumlah sebenar kesemua anggota kumpulan itu dan masih memburu saki-baki mereka yang terlibat," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun dalam tempoh kira-kira 18 jam selepas mereka bersama enam lagi suspek, yang masih bebas, merompak sebuah rumah di Kampung Fajar, Hulu Klang di sini kira-kira pukul 4 pagi, Jumaat lepas.

Amiruddin berkata suspek melarikan wang tunai dan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM8,000.

"Perompak-perompak ini tidak menggunakan sebarang taktik penyamaran, malah bertindak dengan cara menyerbu rumah mangsa," katanya.

Artikel Lain