suria

Biasiswa Ke Luar Negara: Bumiputera Cuma Dapat 56%

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengagihkan 2,850 biasiswa untuk pelajar ke luar negara tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz.

Daripada jumlah itu, katanya, kira-kira 56 peratus daripada jumlah itu adalah untuk bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak manakala selebihnya adalah untuk bukan Bumiputera.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Mohamed Nazri berkata pengagihan biasiswa itu berdasarkan empat kategori iaitu merit, kaum, bumiputera Sabah dan Sarawak serta latar belakang sosial.

Bagi kategori merit, katanya, sebanyak 59 biasiswa (20 peratus) diagihkan kepada bumiputera manakala 241 biasiswa (80 peratus) untuk bukan Bumiputera. Bagi kuota kaum pula, Bumiputera menerima 557 biasiswa berbanding 343 biasiswa kepada bukan bumiputera.

Sebanyak 150 biasiswa lagi diagihkan kepada bumiputera Sabah dan Sarawak manakala 1,500 biasiswa lagi mengikut latar belakang sosial penerima iaitu 843 untuk Bumiputera dan 657 untuk bukan bumiputera.

Sebelum ini, Mohamed Nazri berkata kerajaan akan mengurangkan secara berperingkat 1,500 biasiswa JPA bagi melanjutkan pelajaran ke luar negara. - BERNAMA

Artikel Lain