suria

Syafiah Humaira Takut Pada Tertuduh - Datuk

SHAH ALAM: Kanak-kanak yang mati dibunuh dengan kejam, Syafiah Humaira Sahari dikatakan berubah daripada seorang yang petah bercakap kepada pendiam selepas pulang dari rumah tertuduh, Mohd Fazli Azri Jamil.

Datuk kepada Syafiah Humaira, Aziz Sahar, 51, berkata, perubahan itu berlaku selepas tertuduh menjaga cucunya selama dua minggu sebelum sambutan Tahun Baru Cina pada Februari lalu.

Ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-29, dia yang bekerja sendiri itu berkata, Syafiah Humaira kelihatan takut apabila melihat tertuduh.

“Bila Syafiah Humaira nampak Mat (nama penggilan tertuduh), dia akan meyorok di belakang saya,” katanya semasa pemeriksaan utama di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Aziz yang disoal Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani juga menceritakan saat-saat terakhir dia bersama Syafiah Humaira, 3 tahun 4 bulan, ke kedai berhampiran untuk bersarapan pada hari kejadian.

“Selepas minum, saya hantar dia pulang dan pergi bekerja. Saya balik pada pukul 5 petang dan diberitahu oleh Siti Nurhafifa (anak saksi) bahawa Mat telah mengambil Syafiah Humaira,” katanya.

Saksi seterusnya memberitahu, dia bergegas ke Hospital Kuala Kubu Bharu, dekat sini, untuk melihat jenazah selepas menerima berita kematian Syafiah Humaira.

“Saya lihat pipi dan badan Syafiah Humaira lebam. Di belakang badan ada calar-balar. Waktu saya bawa dia keluar pagi itu, tiada kesan-kesan tersebut,” katanya.

Mohd Fazli Azri, 28, seorang pemandu teksi kini dibicarakan atas tuduhan membunuh kanak-kanak malang itu pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu.

Dia yang diwakili peguam Gurbachan Singh didakwa melakukan kesalahan itu di padang bola, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah, Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung esok.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain