suria

Mohd Bakke Calon Sesuai Terajui Sime Darby: Hamad Kama Piah

KUALA LUMPUR: Datuk Mohd Bakke Salleh adalah calon yang sesuai untuk memegang jawatan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd yang baru, kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Beliau berkata, Mohd Bakke mempunyai pengalaman yang luas dan pernah bekerja dengan beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan termasuk PNB, Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Felda Holdings Bhd.

"Di segi pengalaman, beliau adalah calon yang baik," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perlantikan Mohd Bakke, di sini hari ini.

Sime Darby berkata, Mohd Bakke, 56, telah dipilih berikutan kepakaran dan pengalamannya.

Syarikat konglomerat itu berkata, Mohd Bakke yang berkhidmat sebagai Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, telah membuktikan kebolehannya menguruskan syarikat-syarikat besar, aktiviti pengstrukturan semula korporat dan kepakaran pengurusan dalam industri perladangan dan harta.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, PNB optimis dapat memberikan agihan pendapatan yang berpatutan kepada pemegang unit amanahnya walau pun sesetengah syarikat pelaburannya mengalami kerugian.

"Di dalam menguruskan dana seperti ini, anda akan melabur di dalam banyak syarikat. Kadang kala syarikat berkenaan menunjukkan prestasi yang baik, kadang kala tidak menunjukkan prestasi seperti yang kita harapkan.

Sehingga ini, kami berupaya mendapatkan balik pulangan yang dijangkakan, walau pun berhadapan banyak masalah," katanya ketika diminta mengulas sama ada PNB mampu memberi pulangan yang baik kepada pelaburnya walau pun salah satu syarikat pelaburan terbesarnya, Sime Darby Bhd, mengalami kerugian besar.

Hamad Kama Piah berkata, berdasarkan pengalaman lepas, keadaan yang dialami oleh Sime Darby adalah bersifat sementara.

Beliau juga percaya anggota lembaga pengarah Sime Darby akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memulihkan kerugian yang dialami syarikat konglomerat itu.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2009 Sime Darby, PNB melalui unit amanah yang diuruskannya mempunyai 41 peratus pegangan di dalam syarikat konglomerat itu.

Ketika ini, PNB juga memiliki 15.1 peratus pegangan langsung dalam Sime Darby. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain