suria

Lelaki Maut Dilanggar Keretapi

PASIR MAS: Seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya maut dilanggar sebuah keretapi dalam kejadian di Stesen Keretapi Pasir Mas, dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliluddin Rahim berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 7 pagi tadi.

"Mangsa dikatakan cuba untuk melintas landasan bagaimanapun tidak perasan kehadiran keretapi menyebabkan dia dirempuh keretapi yang dalam perjalanan dari Tumpat ke Kuala Lipis itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, akibat rempuhan kuat itu mangsa tercampak di tepi landasan dan maut di tempat kejadian ekoran kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan.

Haliluddin berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, pihak polis kini sedang berusaha mengesan keluarga mangsa untuk mengenal pasti identiti sebenar mangsa.

"Pihak polis meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi balai polis Pasir Mas atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membuat pengecaman dan membantu pihak polis mencari identiti mangsa," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain