suria

Langgar Pintu Premis Untuk Mencuri

KUANTAN: Seorang pemilik kedai tayar rugi RM26,600 selepas kedainya di Jalan Haji Ahmad di sini dimasuki pencuri semalam. Pintu depan kedainya juga rosak dipercayai dirempuh kereta manakala pintu belakang didapati terbuka.

Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata mangsa telah dihubungi oleh adik iparnya mengenai kejadian tersebut pada pukul 4 pagi.

"Mangsa yang bergegas ke kedainya mendapati pintu utama kedainya rosak dan turut terdapat kesan rempuhan. Setelah diperiksa, mangsa mendapati wang tunai RM1,000, aksesori kereta dan sebuah kereta Toyota SEG milik pelanggannya yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM26,600 lesap dari kedai itu," katanya.

Dalam satu lagi kejadian, sebuah kedai menjual aksesori kereta di Sungai Isap Jaya di sini turut dimasuki pencuri semalam.

Cara pencuri memasuki premis berkenaan didapati sama dengan kejadian di Jalan Haji Ahmad.

Pintu hadapan kedai tersebut turut rosak seperti dilanggar kereta.

Noor Asyikin berkata pemilik kedai itu dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh pekerjanya pada pukul 3.50 pagi. Wang tunai RM500 yang disimpan di kedai berkenaan hilang dalam kejadian ini.

"Pekerja mangsa yang tinggal di tingkat atas kedai tersebut ternampak dua buah kereta jenis Nissan dan Iswara Aeroback berada di hadapan kedai itu sebelum beredar dari situ," katanya.

Beliau berkata modus operandi yang sama turut dilakukan terhadap sebuah kedai komputer di Jalan Gambang di sini.

Katanya pemilik kedai tersebut mengalami kerugian RM1,500 apabila barangan termasuk dua unit permainan Game Boy, tiga unit Play Station 2 dan wang tunai berjumlah RM100 dilarikan.

Beliau berkata mangsa yang mahu membuka kedainya pada pukul 10 pagi semalam terkejut apabila mendapati kunci pintu utamanya rosak dan pintunya terbuka serta terdapat kesan kerosakan akibat di langgar kenderaan.

"Kita tidak menolak kemungkinan bahawa ketiga-tiga kes ini dilakukan oleh suspek yang sama," katanya.

Orang ramai turut diminta memberi maklumat tentang ketiga-tiga kejadian. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain