suria

JI Rekrut Pelajar: KPT Akan Beri Kerjasama Pada Polis Pantau Pelajar

PUTRAJAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam usaha untuk membendung pengaruh anasir pengganas dalam kampus.

Beliau berkata, pihak universiti dan juga kementerian akan bertemu dengan pengurus tertinggi polis bagi membincangkan perkara itu.

Menurut Mohamed Khaled, setahunya tidak ada laporan yang mengaitkan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan aktiviti pengganas sama ada dari dalam atau luar negara. Bagaimanapun pihaknya tetap akan memantau dan bekerjsama dengan polis dalam hal ini.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, hasil siasatan polis ke atas 10 warga asing yang ditahan di sini sejak beberapa bulan lalu mendedahkan rangkaian gerakan Jemaah Islamiah dikesan merekrut remaja dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyertai gerakan itu.

Kata Musa lagi, sehingga kini mereka sudah merekrut 20 hingga 30 pelajar IPT yang mudah terpengaruh selepas menghadiri ceramah yang diadakan oleh kumpulan ini.

Musa juga meminta orang-ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan yang mencurigakan ini supaya segera menghubungi mana-mana balai polis.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain