suria

Empat Lelaki Afrika Ditahan Miliki Wang Palsu

KUALA LUMPUR: Tembelang empat lelaki warga Afrika yang memperkenalkan diri mereka sebagai ejen kiriman wang kepada seorang suri rumah terbongkar selepas polis menemui lebih 12,000 keping wang palsu di sebuah kondominium mewah di sini.

Mangsa yang berusia 53 tahun itu membuat laporan polis selepas kerugian lebih RM17,000 setelah membuat pembayaran untuk proses pengeluaran wang bernilai US$3.5 juta (RM11.5 juta) yang kononnya dikirim kepada mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany berkata, mangsa menerima panggilan pada 2 Jun lalu daripada salah seorang suspek yang mendakwa terdapat kiriman wang untuk mangsa, namun mangsa dikehendaki membuat beberapa pembayaran bagi tujuan pemprosesan pengeluaran wang tersebut.

Beliau berkata, mangsa yang percaya dengan kata-kata lelaki itu kemudiannya bertemu dengan suspek pada 5 Jun lalu di tempat letak kereta sebuah hospital swasta di sini dan memberi wang tunai berjumlah RM5,650 kepada suspek.

"Selepas pembayaran itu dibuat, mangsa kemudiannya diminta membuat pembayaran kedua pada 7 Jun lalu berjumlah US$3,550 (RM11,623) di Avenue K, Jalan Ampang di sini," katanya pada sidang media di sini.

Izany berkata, oleh kerana belum menerima kiriman yang dijanjikan itu selepas membuat dua pembayaran, mangsa akhirnya bertindak membuat laporan polis setelah menyedari dirinya ditipu.

Katanya, mangsa kemudiannya menerima panggilan daripada suspek yang meminta mangsa membuat pembayaran ketiga di Avenue K kira-kira 3 petang, Khamis lepas.

Beliau berkata, ketika urusan pembayaran itu dilakukan, polis telah menahan suspek berusia 27 tahun itu dan menyerbu sebuah unit kondominium mewah di Kampung Baru Ampang di sini serta menahan tiga lagi lelaki.

Katanya, hasil pemeriksaan di dalam unit itu, polis menemui kepingan wang RM50 sebanyak 8,400 keping, US$100 (4,200 keping), US$50 (120 keping), US$20 (30 keping) dan US$10 (80 keping) yang diletakkan di dalam dua buah beg pakaian.

"Kesemua suspek yang ditahan berumur antara 22 hingga 30 tahun dan dipercayai memasuki negara ini pada tahun 2007 dengan menggunakan visa pelajar dan salah seorang daripada suspek menggunakan pas UNHCR," katanya.

Katanya, sindiket itu telah bergiat aktif sejak dua tahun lalu. Kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari sehingga 24 Jun depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 489C akta yang sama kerana memiliki wang palsu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain