suria

Bank Negara Umum Pelantikan Baharu

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) melantik Datuk Muhammad Ibrahim sebagai Timbalan Gabenor bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa 16 Jun.

BNM turut melantik Datuk Ooi Sang Kuang sebagai Penasihat Khas bagi tempoh setahun selepas menyelesaikan tempoh selama lapan tahun sebagai Timbalan Gabenor, kata BNM di dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ooi akan bertangung jawab bagi bidang kerjasama kewangan serantau dan antarabangsa yang termasuk pembangunan infrastruktur kewangan untuk memudahkan integrasi lebih meluas serantau dan antarabangsa.

BNM turut mengumumkan pelantikan Jessica Chew Cheng Lian sebagai Penolong Gabenor bagi sektor kawal atur berkuat kuasa 16 Jun.

Berikutan plantikan Chew, Mohd Zabidi Md Nor kini dilantik Pengarah Jabatan Dasar Kewangan Berhemah.

Katanya, Muhammad menyertai bank pusat itu pada 1984 dan telah berkhidmat di dalam bidang kawal atur dan pemantauan bank, perancangan strategik, sistem pembayaran, insurans, perbankan luar pesisir dan perbendaharaan dan pasaran kewangan.

Beliau menjadi Pengarah Urusan Danamodal Nasional Bhd, bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan berkhidmat sebagai anggota majlis Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Beliau memegang Ijazah Sarjana dari Harvard University, satu ijazah perakauanan dari Universiti Malaya dan diploma pasca graduan Perbankan dan Kewangan Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ooi kini Pengerusi Lembaga Pengarah Cagamas Bhd, Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd, ahli felo Institut Ahli Bank Malaysia dan seorang anggota Pusat Penyelidikan dan Latihan SEACEN.

Sementara itu, Chew menyertai Bank Negara Malaysia pada 1993 dan telah berkhidmat di dalam pelbagai jawatan di dalam penggubalan dasar berhemah dan strategik bagi sektor perbankan dan insurans dan terlibat di dalam penyediaan Pelan Induk Sektor Kewangan dan penggubalan Strategi Liberalisasi Sektor Kewangan sebagai sebahagian daripada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan perundingan bebas.

Beliau turut terlibat di dalam pembentukan sistem insurans deposit dan penggubalan strategi pembangunan modal insan bagi sektor kewangan.

Zabidi menyertai BNM pada 1995 dan telah terlibat di dalam penggubalan dasar sektor kawal atur.

Beliau memiliki ijazah perakaunan dan kewangan dari London School of Economics dan adalah felo akauntan Berdaftar Bertauliah dan anggota. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain