suria

Anwar Dibenar Pinda Pernyataan Tuntutan Saman Terhadap Anifah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dibenar memasukkan nama Datuk Seri Anifah Aman sebagai defendan atas kedudukannya sebagai Menteri Luar dalam satu saman fitnah RM100 juta terhadap menteri itu.

Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Nooradura Mohamed Din membuat keputusan itu selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Peguam Karpal Singh dan S.N.Nair mewakili Anwar, K.Vasanthi mewakili Anifah atas kedudukan peribadinya manakala Peguam Kanan Persekututan Amarjeet Singh mewakili Anifah atas kedudukannya sebagai Menteri Luar serta kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat hanya menamakan Menteri Luar sebagai defendan tanpa menyebut nama Anifah secara khusus.

Dengan pindaan itu, Anwar kini menyaman Anifah atas kedudukan peribadinya sebagai anggota Parlimen Kimanis serta kedudukan rasmi sebagai Menteri Luar, dan menteri itu telah dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, sementara kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.

Pada 27 Mei tahun lepas, Anwar memfailkan saman itu berikutan kenyataan menteri tersebut pada sidang akhbar bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton pada 16 Mei tahun lepas, yang mendakwa ditawarkan jawatan timbalan perdana menteri sekiranya Ketua Pembangkang itu menubuhkan kerajaan pada 16 September, 2008.

Anwar juga mendakwa Anifah telah memfitnahnya dengan menyatakan beliau cuba membeli ahli Parlimen dan mencemarkan imej negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain