suria

Sembunyi Heroin Dalam Poket Bahu Baju Korporat Elak Dicekup Polis

KUALA TERENGGANU: Taktik seorang pengedar dadah menyembunyikan bahan terlarang itu dalam poket bahu sehelai baju korporat tidak berjaya mengaburi mata pihak berkuasa apabila dicekup dalam operasi polis berhampiran Dataran Shahbandar di sini malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu Supt Roslan Abdul Wahid berkata lelaki berumur 38 tahun itu ditahan kira-kira 8.30 malam.

Dalam operasi itu, polis menahan kereta yang dipandu lelaki itu dan setelah diperiksa, polis menemui beberapa bungkusan dadah jenis heroin dalam poket bahu sehelai baju korporat yang disangkut di tempat duduk belakang, katanya Bungkusan itu mengandungi 15 botol kecil heroin seberat 66 gram dengan nilainya dianggarkan RM21,000, katanya kepada pemberita di sini semalam.

Roslan berkata, siasatan mendapati lelaki itu yang juga penagih dadah mempunyai rekod jenayah narkotik iaitu pernah dikenakan tahanan sekatan dua tahun pada tahun 1998 di pusat pemulihan akhlak Simpang Renggam, Johor.

Beliau berkata lelaki itu didapati aktif mengedar dadah di kawasan Pulau Duyung, Losong dan Batu Rakit.

Katanya lelaki itu direman selama seminggu sehingga 18 Jun untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Roslan berkata bagi tempoh dua minggu ini, polis berjaya menahan 273 orang yang terlibat dengan pelbagai kesalahan dadah. - BERNAMA

Artikel Lain